Wednesday, August 5, 2009

PEREMPUAN KALIS PELURU

Tanggal 19 Julai meninggalkan satu titik noktah dalam pencarian aku selama ini. Tiada yang lebih istimewa selain melainkan mendapat apa yang dihajati. Aku menggagau dalam kegelapan untuk sampai ke tahap sekarang. Dua minggu sudah aku diduga dengan satu dugaan yang perit. Saat itu aku rasakan pisau yang aku simpan telah terjatuh ke lantai lantas diambil oleh orang ‘bernama’ lalu di letak pada leherku. Dunia gelap seketika. Mereka umpama samseng yang tidak menghiraukan adab tatasusila sebagai seorang manusia. Aku dan dua kawanku menagih simpati supaya dilepaskan. Kuasa tuhan, kami tidak diapa-apakan. Bermula dari saat itu, aku berjanji untuk tidak memandang ke bawah lagi. Aku akan terus mendongak ke langit mengharapkan akan ada hujan emas yang biasanya turun di negeri orang, tidak di negeri kita.

Alhamdulillah, Allah itu maha besar. Aku berjaya meninggalkan gerabak yang kotor, yang dahulunya sanggup aku huni semata-mata untuk mendapat seciput penghargaan. Siapa yang sanggup berenang di lautan api? Itu hanya cerita rekaan sang pujangga yang bercita-cita tinggi untuk berlagak di hadapan sang puteri. Mana yang lebih baik? Katak di bawah tempurung atau katak di luar tempurung? Bagi aku, sempadan tidak membataskan pergerakan. Kepada katak di bawah tempurung, belajarlah bermain di sekitar luar tempurung untuk seketika. Tapi awas, jangan pergi terlalu jauh. Bila tiba waktu malam, pulanglah semula ke bawah tempurung. Dan, untuk katak di luar tempurung, cuba pujuk dan beri kata-kata semangat kepada katak yang masih sukar untuk keluar dari tempurung mereka. Senang bukan?

Jangan mudah terpengaruh dengan sebarang tipu daya. Tiada yang sempurna namun kesabaran adalah satu senjata yang dapat mematahkan erti keegoan. Selama ini aku bernafas dalam ego, aku hipokrit, terlalu mengharapkan ihsan untuk hidup. Sukar dipercayai, selepas 19 Julai, segalanya berubah. Selepas terlepas dari tebing gurun yang sempit, aku mengurut dada tanda kelegaan kerana terselamat. Belum sempat menoleh untuk melihat wajah sang penyelamat, mataku mengalir tanda gembira. Baju kalis peluru yang aku tempah suatu ketika dulu telah dipakai oleh sang penyelamat. Riak wajahnya tidak menunjukkan sebarang erti. Hanya tersenyum sambil melambaikan tangan untuk pulang beristirehat. Penat agaknya.

Tiga tahun lalu, aku seperti bangkai hidup. Seakan-akan insan yang ditumpangi oleh sejenis makhluk yang tidak mahu meninggalkan tuannya. Sahabat tidak dapat diukur menerusi tanda hitam pada dahi. Itu soal lain, hanya Allah yang layak berurusan dengan setiap makhluknya. Namun, tidak dinafikan, kawan yang sering bergurau senda dengan aku sehingga kepala aku dimainkan seperti bola datang menghulurkan bantuan. Kata orang, erti persahabatan bukan terletak pada sebanyak mana kita 'add' kawan pada laman Myspace. Persahabatan memerlukan kesudian membantu dalam apa jua musibah. Tapi, aku percaya, dalam 10 orang, belum tentu seorang pun dapat bertahan memberi ihsan.

Aku suka bermimpi. Dulu, aku sering bermimpi. Berjalan di tepian pantai. Belajar memandu? Ahh...itu cerita lama. Mungkin berkongsi tempat duduk dalam bas lebih selamat. Tapi, hati-hati! Pemandu bas sekarang mengejar trip. Maklumlah, gaji tak seberapa, anak isteri memerlukan duit lebih. Mana nak hantar anak ke tuisyen, sekolah agama, belajar muzik, taekwando, kadang-kadang ada juga yang belajar silat secara sendirian. Zaman dah berubah, masyarakat kita lebih suka membaca kisah rogol di akhbar tabloid daripada ceramah tentang Israk Mikraj di masjid. Betul, pak imam tetap dapt duit dari kerajaan. Itu bukan persoalannya. Yang penting, pergi ke masjid. Kalau tak genap 40 jemaah, sakit la sikit. Setakat derma ke tabung masjid tidak membantu untuk kepastian syurga.

Suatu ketika dulu, sang penyelamat yang berbaju kalis peluru tadi memerlukan melodi untuk menutup kelopak mata yang semakin kuyu...bukan...layu. Sebuah kotak yang dilarik halus berbentuk bulat yang mempunyai kayu panjang diambil. Pada kayu panjang itu pula terdapat tali kecil yang mengeluarkan bunyi. Entah kenapa seluruh semesta menamakannya sebagai GITAR. Siapa yang mencipta terma tersebut? Kenapa tidak PITAR atau KITAR? Biarkan saja. Sesudah itu, aku disuruh bermain sebaris lagu sebagai alatan dodoi untuk hiburan beradu. Pemilik lagu tersebut bernama Sir Eric Clapton. Setahu aku, lagu tersebut digubah untuk permaisuri kesayangannya. Berbalik kepada nama pemilik lagu tadi, ada pangkat di pangkal nama beliau. Sir??? Mungkin juga tarafnya seperti Datuk di negara kita. Tapi, jarang sekali kita mendengar perkataan Sir melainkan Sir Elton John dan Sir Alex Ferguson. Sebaliknya, dalam 27 juta rakyat Malaysia, secara kasar aku anggarkan tidak kurang suku dari jumlah tersebut telah selamat ditabalkan sebagai Datuk, Dato' atau datuk(ada cucu).

Aku pernah menunggang Vespa. Warna hijau, cantik juga walaupun terpaksa tukar suka sama suka buat seketika dengan seorang sahabat. Selalu juga buat hal. Aku suka menghabiskan masa di sebuah gerai kuning berdekatan rumah sang penyelamat berbaju kalis peluru. Suasana pun nyaman. Tapi, setiap kali datang rakan sedarjah, aku pakai topeng. Bukan apa, aku tidak suka kepada publisiti. Bagi aku, majalah hiburan di Malaysia hanyalah berkiblatkan kolam renang. Aku suka muzik rock, aku tak pernah kerja pejabat, perut aku buncit...buruknya! Tak mungkin aku sanggup untuk berenang di kolam renang sambil membuat pose maut bagi tatapan pembaca. Ya...kedai kuning tadi menjual satu menu masakan yang aku paling suka. Mi...eh, mee. Kedai burger pun ada.

Aku punya seorang ibu yang sudah tidak berdaya berjalan jauh. Bukan aku tak mahu balik kampung. Dulu, aku baru saja mendapat kerja dan pada musim perayaan, aku terpaksa bertugas. Sedar tak sedar, sudah dua tahun aku tidak pulang ke kampung halaman. Mungkin sudah ada TOL di depan rumahku. Buat pengetahun semua, sang penyelamat berbaju kalis peluru tadi pernah bersalam dengan orang tuaku. Dikucup tangan ibuku sebelum pulang. Harapannya ingin melihat anak lelakinya gembira. Ya...aku gembira. Aku terima segala dugaan. Aku tinggalkan kampung halaman untuk melupakan cerita ceriti yang palu...pilu. Dulu, aku pernah berhenti merokok atas desakan seseorang(perempuan kalis peluru). Aku tahan nafsu laparku sehingga lebih 20 kilogram berat badanku hilang entah ke mana. Mungkin jatuh semasa aku membonceng motorsikal bersama Simi. Budak ni kalau bawa motorsikal tak pernah perlahan. Itu dulu. Sekarang berat ku bertambah dua kali ganda lebih dari sebelumnya. Aku tak kisah. Yang penting aku gembira. Tapi mungkin hayat hidup aku tak akan bertahan lama. Dua, tiga tahun lagi GOL la kot.

Kini, perempuan kalis peluru telah kembali. Baju kalis peluru telah ditanggalkan. Yang ada cuma seluar jeans yang...kenapa dah koyak? Biarlah...mungkin tahun ni, dia terlalu sibuk dengan urusan pekerjaan. Nasib baik rambutnya tidak dipotong. Tapi awas! Jangan ditegur, takut nanti dipendekkan cerita, maka pendeklah juga rambutnya. Aku suka N0.23...eh tidak...NO.19. Aku tidak mengharapkan segunung harapan. Aku hanya ingin melihat baju kalis peluru tidak dibiarkan terseret di jalan raya. Aku pernah memandu sambil diperhati oleh perempuan kalis peluru. Jadi, pastikan baju kalis peluru disimpan sehingga ke...entah...rumah. Aku hanya ingin berkawan. Tidak lebih dari sekeping nota 'terima kasih'. Aku tinggalkan segala kejadian tsunami dalam diriku untuk balik ke pangkal jalan. Insyaalah, jika masih utuh, aku balik kampung sempena musim perayaan tahun ni. Tiket bas pun bukan senang nak dapat. Aku pernah naik bas tambahan. Itupun terpaksa berganti bas di pertengahan jalan. Beriku sedikit masa. Akanku buktikan kepada dunia...tahun ni aku balik kampung!

MA...YUH MINTAK MAAF!

Tuesday, April 7, 2009

REALITI VS FANTASI

Sesebuah program hiburan diterbitkan samada untuk mengejar keuntungan ataupun demi memeriahkan industri hiburan tanahair telah bercambah dengan pesat kebelakangan ini. Ianya boleh dikategorikan sebagai serampang dua mata yakni satu tujuan yang mempunyai dua matlamat. Namun, matlamat yang diimpikan tidak ditimbang tara dengan sebaik-baiknya. Sudah bertahun kita disogok dengan pelbagai program hiburan yang berkonsepkan realiti. Bermacam-macam nama program realiti yang kita dengar, yang kita tonton, yang kita undi, dan semestinya yang kita agungkan. Apakah yang kita faham dengan terma realiti? Adakah ia benar-benar realiti atau hanya sekadar sebuah fantasi.

Realiti dan fantasi. Apakah maksud disebalik dua perkataan ini? Realiti bermaksud seseuatu yang nyata atau kejadian yang benar-benar berlaku dalam kehidupan. Manakala fantasi pula bermaksud suatu angan-angan. Ini maksud yang mudah tanpa merujuk kepada kamus. Berbalik kepada perbincangan asal tadi, negara kita telah dilanda fenomena program realiti lebih kurang enam tahun lalu. Sepanjang itu jugalah, rakyat Malaysia telah sanggup berbelanja berjuta-juta ringgit dengan menjadi 'juri segera' yang bermaharajalela mengadili pelbagai pertandingan melalui undian SMS. Bagaimana kita mengukur bakat seseorang hanya berbekalkan undian SMS?

Maka timbul pendapat yang bersetuju bahawa program realiti berjaya melahirkan pelapis kepada seniman dan seniwati negara. Pendapat yang klise daripada kapitalis industri hiburan. Bila kocek dah kembung, semua yang buruk disorok. Tidak dapat dinafikan, wujud segelintir program realiti yang berjaya melahirkan penghibur yang berkualiti namun kuantitinya boleh dihitung dengan jari. Malah terdapat sesetengah artis yang menjadikan program realiti sebagai medium untuk menonjolkan diri setelah bertahun ditenggelami kerumitan industri hiburan.

Kewujudan pelbagai program realiti menyebabkan kebanyakan rakyat Malaysia menyimpan cita-cita untuk mengikut jejak langkah idola mereka. Maka, berduyun-duyun peserta yang kononnya mempunyai bakat terpendam membuang masa untuk hadir bila mana sesi ujibakat diadakan. Mereka mengimpikan fantasi yang disimpan berabad lamanya menjadi realiti. Tidak menjadi kesalahan jika ada yang benar-benar berbakat. Namun, jika bakat hanya seciput dan memerlukan masa bertahun untuk diasah bakat itu, seeloknya cari kerja yang berpatutan. Lupakan fantasi indah untuk berada di atas dan yang paling penting, tidak semua fantasi yang diimpikan bertukar menjadi realiti.

Menariknya di sini, semua program realiti telah menyediakan barisan seniman dan seniwati yang hebat tetapi mereka hadir bukan untuk mengadili persembahan. Sebaliknya hanya sekadar memberi teguran atau kritikan yang mungkin dapat mempengaruhi undian SMS. Boleh dikatakan, ianya gimik semata-mata bagi memeriahkan program realiti yang diterbitkan. Adakah ini membantu? Dari segi persembahan, ia sememangnya membantu melalui teguran dan tunjuk ajar yang diberi. Tetapi, dari segi masa panjang ia hanyalah strategi sementara yang tidak banyak memberi manfaat kepada peserta program realiti. Bintang tidak boleh digilap melalui penilaian sementara. Bakat hanya boleh bersinar melalui pembelajaran, pengetahuan, dan yang paling penting pengalaman. Bakat yang lahir dalam jangkamasa tiga hingga empat bulan tidak mencerminkan sesuatu yang tulen.

Populariti...Satu terma yang menjadi igauan seluruh masyarakat. Kebelakangan ini, frasa popular menjadi sub-budaya bagi anak-anak muda. Populariti berada pada hierarki yang paling atas berbanding kerjaya. Ini kenyataan, bukan sondolan pendapat semata-mata. Apabila populariti seseorang itu meningkat, secara automatik poket akan berisi menandakan kerjaya turut meningkat. Sepatutnya populariti bersandarkan prestasi kerjaya yang baik. Tanpa usaha, 'sebiji kelapa tidak akan berubah menjadi semangkuk santan'.

Walau bagaimanapun, disebalik kepopularitian program realiti,ia sedikit sebanyak membantu menaikkan atau memberi ruang kepada karya-karya pemuzik tempatan samada dari arus perdana atau pemuzik-pemuzik bebas. Dengan situasi 'mass market' yang menonjolkan banyak pemuzik-pemuzik bebas masakini, tempiasnya turut dirasai oleh program realiti. Banyak karya-karya mereka dipertaruhkan oleh peserta program realiti dan inilah kelebihan sebenar program realiti. Ia mempunyai jutaan peminat di seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei. Kita ketepikan soal undian SMS, kritikan atau pertunjukan fesyen. Apa yang pasti ialah 'coverage' yang diberi. Sebagai contoh; Band A merupakan sebuah kugiran bebas yang sedang meningkat naik. Kebanyakan penonton(umum) mungkin pernah mendengar tentang kebangkitan Band A tanpa mengenali karya-karya mereka. Jadi, bila peserta program realiti mendendangkan karya mereka, secara tidak langsung penonton akan lebih tertarik untuk mengenali pemilik asal karya yang dipertaruhkan. Harus diingat, program realiti ditonton oleh jutaan peminat. Ya...Pemuzik bebas tidak mengejar populariti. Ini bukan populariti buatan wartawan hiburan tapi satu ransangan atau suntikan yang meluaskan 'network' untuk pemuzik-pemuzik bebas.

Oleh yang demikian, program realiti mempunyai pro dan kontranya sendiri. Bukan semua program realiti itu berjaya dan begitulah sebaliknya. Kebanyakan program realiti hanya indah khabar dari rupa. Bakat tidak berteraskan paras rupa, fesyen rambut, kasut mahal, jam Swatch atau baju Top man. Bakat berakar umbikan keunikan. Penerbit program realiti pula tidak perlu menganak tirikan karya-karya tempatan. Banyak karya-karya mereka yang berkualiti. Pilih dan dedahkan kepada masyarakat. Berbincanglah dengan adil jika ingin mempertaruhkan karya pemuzik-pemuzik bebas untuk para peserta. Mereka bukan pekerja Nepal yang boleh ditengking-tengking. Mereka berhak menuntut hak mereka dan jika pemuzik seberang kita boleh agungkan bak dewa, kenapa tidak dengan pemuzik kita sendiri. Bertindaklah dengan bijak.

Untuk titk noktah, cukuplah dengan pelbagai program realiti yang ada. Usah diperbanyakkan lagi kerana program wacana Islam semakin berkurang. JANGAN BIARKAN REALITI HIDUP ANDA DISELUBUNGI FANTASI...Fikir-fikirkan.venee lemily.

Thursday, November 20, 2008

SEJARAH MUNGKIN BERULANG!!

‘BERSATU KITA TEGUH
BERCERAI KITA ROBOH’


Assalamualaikum…Tanpa kita sedari, tahun 2008 bakal melabuhkan tirai. tahun ini merupakan tahun yang banyak menyimpan kenangan pahit manis kepada penggiat muzik tanah air. Suasana muzik Malaysia kembali meriah dengan kebangkitan pemuzik-pemuzik bebas yang dahulunya dipinggir ekoran ‘agung’nya pemuzik seberang. Hampir keseluruhan media arus perdana samada media cetak atau media elektronik berbicara perihal kebangkitan pemuzik-pemuzik bebas. Stesen TV, stesen radio, akhbar harian malah akhbar tabloid turut memberi ruang kepada pemuzik-pemuzik bebas untuk menampilkan karya-karya mereka. Inilah yang kita mahukan. Ruang serta masa yang diberi harus dimanfaatkan sebaik mungkin. Peluang seperti ini sangat jarang berlaku setelah kita diserang oleh ‘GARUDA’ seberang beberapa tahun kebelakangan.

Apa ironinya dengan tajuk dan intro yang saya gunakan? Kalian sedia maklum dengan keadaan semasa. Namun, ini bukan kali pertama karya pemuzik-pemuzik bebas mendapat tempat di hati masyarakat arus perdana. Lebih kurang 10 tahun dahulu, scene bebas(dahulunya dikenali sebagai ‘underground’) telah dapat diterima oleh masyarakat. Suasana pada masa itu sangat meriah dengan kehadiran kugiran-kugiran yang datang membawa pelbagai genre muzik. Untuk tidak merosakkan sejarah muzik bebas tanah air, saya hanya menumpukan kepada generasi DIY pada era 90-an dan pada era kini. Kepada pembaca yang berusia 21 tahun ke bawah mungkin tidak berkesempatan merasai betapa ‘happening’nya scene ‘bawah tanah’ ketika itu. Mungkin kalian berpendapat saya terlalu emosi atau ’orang tua’ yang sedang dilamun cinta lalu bercerita kenangan masa dahulu. Sebelum menduga, kalian harus terus membaca imbauan yang saya imbas kembali demi satu tujuan…BERSATU.

Pada pertengahan 90-an, kita telah dikejutkan dengan kemunculan pelbagai kugiran ‘bawah tanah’ yang datang dengan harapan setelah dipojok dengan muzik ‘leleh’ yang hadir entah dari mana. Ingin saya tegaskan di sini, ketika itu scene ‘bawah tanah’ (DIY) sangat mementingkan semangat ‘unity’ dan ‘brotherhood’ yang tinggi. Saling bantu-membantu, tolong-menolong, berat sama dijunjung, ringan sama dijinjing. Melalui ‘coverage’ yang begitu terhad, pemuzik-pemuzik bebas ini terus berjuang demi satu matlamat…BERKARYA. Tanpa Myspace, tanpa Facebook, tanpa Friendster, tanpa download atau upload, dan semacam kemudahan teknologi, pemuzik serta ‘followers’ bergerak seiring dalam memastikan scene ini terus hidup. Bolehkah ‘adik-adik’ bayangkan hidup tanpa sebarang ‘gadjet-gadjet’ canggih? Tanpa telefon bimbit, tanpa internet, tanpa Myspace…Tentu susah bukan???

Namun sedikit demi sedikit, tangga demi tangga didaki, akhirnya scene DIY dapat diterima ramai. Sebelumnya, segala informasi dikongsi melalui ‘zine-zine’ yang diilhamkan ‘followers’ atau pemuzik bebas sendiri, ROTTW, Majalah Konsert, kolum yang dikendalikan Joe Kidd (Carburetor Dung) dalam sebuah akhbar harian bahasa inggeris, pertukaran ’stuff’ sesama ‘followers’ dan bermacam-macam cara yang sangat terbatas. Boleh dikatakan hanya segelintir yang mengetahui tentang kewujudan scene DIY ini. Wujudnya hero-hero(he…he…he) seperti Abg. Rom, Joe Kidd, dan Kevin B(Wow FM-rip off) maka segala informasi berguna dapat dikongsi. Siapa Kevin B??? Mungkin ‘adik-adik’ tidak pernah kenal akan nama ini. Namun, tiada seorang DJ radio pada masa kini yang lebih ‘cool’ dari beliau. Kevin B merupakan seorang DJ radio Wow FM yang banyak memutarkan ’stuff’ DIY tanpa sebarang prejudis. Zahid(Disagree) mungkin individu yang paling bertuah pada masa itu(awal tahun 2000). Abg. Rom!!! Apa lagi yang dapat diceritakan mengenai ‘brother’ rambut putih ni. Hanya jutaan terima kasih dari kami semua. Dan, Joe Kidd. Saya rasakan beliau merupakan orang yang patut kalian sanjungi melalui usaha beliau memartabatkan scene DIY. Joe Kidd merupakan aktivis yang ideologinya susah untuk ditafsir. Aru(Koffin Kanser) dan rakan seperjuangan mungkin menangis jika sejarah mereka diimbas kembali. Hahaha…Republik Of Brieckfield adalah sebuah legasi yang benar. Banyak sejarah tercatat di situ dan mungkin Aru, Joe Kidd, Jaei(Sil Khannaz) serta rakan-rakan mereka saja yang mengerti.

Okay…Berbalik kepada pendedahan pada era tersebut. Media arus perdana telah memberi perhatian kepada scene DIY. Malah, sebuah stesen TV swasta telah menerbitkan satu-satunya rancangan khusus untuk pemuzik-pemuzik bebas yang dikenali sebagai ALTERNATIF yang disiarkan setiap minggu. Dan bermula dari sini juga, semua kugiran yang datang dari kelompok bebas digelar sebagai ‘band alternatif yang membawakan genre muzik alternatif’(ntah apa-apa). Berbekalkan rancangan ini, ROTTW(dahulunya hanya terbit setiap 2 bulan),dan informasi dari rakan-rakan, kami(followers) berusaha mengumpul wang untuk hadir ke gig-gig serta membeli dan bertukar-tukar ’stuff’(ketika itu popular dalam bentuk kaset) yang berharga RM 5. Jika tidak, kami hanya berurusan melalui pos sahaja. Cuba ‘adik-adik’ bayangkan betapa susahnya hanya semata-mata untuk mendengar sesuatu yang ‘magik’. Pada ketika itu, scene DIY Ipoh(Ipoh Rock City) sangat happening dengan gig-gig metal dan indie. Medan Kidd merupakan medan pertukaran maklumat ataupun ‘one-stop-centre’ bagi budak-budak ipoh. Kompleks Yik Foong pula adalah tempat perkongsian idea dan pendapat yang meriah pada setiap hujung munggu. Manakala, di Kuala Lumpur, Central Market dan Kompleks Campbell adalah tempat yang wajib dikunjungi jika menghadiri gig di sekitar KL. Jika ‘adik-adik’ ingin menguji pengetahuan tentang muzik, sila kunjungi kedai kaset Auntie di Kompleks Campbell. Nescaya ‘adik-adik’ akan pulang dengan muka merah padam menahan malu(Auntie memiliki pengetahuan mendalam tentang senario muzik tempatan mahupun antarabangsa).

Kalian mungkin bosan dengan tulisan yang melalut. Tapi, ingatlah kalian semua tentang sejarah kita yang mungkin berulang. Akan saya rungkaikan di akhir penulisan ini. 28 Days, Sil Khannaz, Necrotic Chaos, Koffin Kanser, The Pilgrims, The Splatters, The Expired, The Bollocks, Muck, Catapuru, Apple Green, FTG, Butterfingers, OAG, Dead Mushrooms, Happy Nightmare, LYME, Prana, Republik Of Brieckfield, ACAB, The Official, Shizuka, BloodyMary, Fat Flat, Spunky Funggy, Spiral Kinetik Circus, Amigone, Carburetor Dung, Custom Daisy, Nice Stupid Playground, Skyjus, Acid Rain, Stone Angelina, Subculture, Infectious Maggots, Samarkhand, 7 Collar T-Shirt, Love Me Butch, Private Whizz, Langsuir dan banyak lagi adalah antara pemuzik-pemuzik bebas yang memberi satu ruang lingkup terhadap tohmahan yang dilemparkan masyarakat perdana selepas era kegemilangan Search dan Wings(kononnya tiada pengganti 2 kugiran hebat ini). Dan semestinya penghormatan harus diberi kepada satu-satunya kugiran ‘rebel’ semasa ‘Battle Of The Band’ pada era 80-an dahulu iaitu Blackfire.

Dan…Julung-julung kalinya, beberapa tahun dahulu scene kita telah dibunuh dengan kejam tanpa diberikan ruang untuk menyelamatkan diri. Umpama pisau yang menikam tubuh itu ditarik dari badan kemudian ditikam kembali berkali-kali. Pedih…Perit… Scene seolah-olah mati. Peristiwa ‘Besi Hitam’ meninggalkan kesan yang sangat mendalam. Gig-gig diserbu pihak berkuasa untuk menangkap PAK CIK HAMMER, PAK CIK PAKU dan entah apa-apa pak cik lagi kononnya bertujuan mencari bangkai kambing yang darahnya telah diminum oleh pengunjung gig(hahahahaha). Tapi, malangnya gig yang diserbu merupakan sebuah gig ’punk’. Namun, tangkap tetap tangkap!!! Balai cerita!!! Sebuah syarikat penerbitan akhbar tabloid telah menjadi ‘hero kampung’. Kononnya remaja Islam membakar kitab suci Al-Quran dan meminum darah kambing sebagai santapan. Berbulan-bulan propaganda mereka teruskan bagi memastikan remaja-remaja dapat kembali kepada ajaran Islam yang sebenar(huh). Selama berbulan-bulan itu jugalah tiada seorang pak cik pun yang dapat ditangkap. Untuk rekod; pihak berkuasa negara kita telah diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui penyelesaian kes-kes jenayah. Sekiranya benar apa yang diprovok oleh akhbar tabloid tersebut, sudah semestinya pak cik-pak cik tadi sudah dapat ditangkap dan menerima hukuman setimpal di atas kesalahan mengedar darah kambing. Tika dan saat ini jugalah ‘GARUDA’ yang besar dari seberang telah menemui tempat baru untuk bersarang. Dan tempat itu ialah…MALAYSIA.

”BAPAKU MARAH LAH LAGI, HABIS…CD DIBAKAR, HABIS…POSTER DIBAKAR, HABIS….ZINE KU DIBAKAR…KALAU INI MACAM, LEBIH BAIK AKU JADI…MAT REMPIT, JADI MAT RAP, JADI MAT DISKO, JADI MAT POP INDON, BAIK AKU JADI…BOHJAN”-ini antara lirik lagu Sunut daripada Langsuir(harap maaf jika tersilap). Cuba kalian baca dan fahami maksud yang hendak mereka sampaikan.

Kini, pemuzik-pemuzik bebas telah bangkit kembali. Hujan, Meet Uncle Hussein, They Will Kill Us All, Sugar Loves Cookies, Lydia Diary, Bittersweet, Estranged, Couple, Pop Shuvit(sekadar beberapa nama) telah memberi nafas baru kepada scene DIY. Saya lebih suka menggunakan terma ‘BEBAS’ kerana ia sangat jelas untuk menggambarkan perjuangan pemuzik-pemuzik muda ini. Jangan sempitkan pemikiran adik-adik kita dengan terma ‘INDIE’. Dengan penjelasan yang panjang lebar, saya berharap kepada semua pemuzik-pemuzik bebas masakini dan ’followers’ agar bersatu dan sama-sama menyokong pergerakan DIY kita sendiri. Jalan yang sempit dahulunya telah terbentang luas. Hanya azam dan ikatan persaudaraan yang kukuh sesama kita dapat meneruskan perjuangan yang dirintis oleh ‘pioneers’ terdahulu. Biar berbeza ideologi, biar berlainan genre, biar tidak sependapat, namun jangan sesekali biarkan scene kita dibunuh untuk kali kedua. Sebatang lidi memang mudah dipatahkan.tetapi jika kita menjadi seberkas lidi, tiada tenaga yang dapat melawan. Fikir-fikirkan.

Selamat tinggal 2008…Semoga lebih ‘BEBAS’ di tahun hadapan. Sekian.

KEMBALI UNTUK RAKYAT!!!

Butterfingers…satu nama yang melambangkan sifat keegoaan yang tinggi namun memiliki semangat yang jitu (padu). Secara sedar atau tidak, majoriti kalian yang berumur 25 tahun ke atas kenal akan kugiran ini. Ditunjangi oleh Loque selaku nakhoda, tiga laksamana taat setia berikrar untuk sama-sama berjuang bagi mempertahankan matlamat muzik mereka. Kini, Loque, Emmett, Kadak, dan Loco muncul dalam ’kebingitan’ indie (kononnya) untuk membuktikan bahawa tiada sempadan dalam muzik. Tidak keterlaluan jika saya labelkan album terbaru mereka yang berjudul ‘KEMBALI’ merupakan sebuah naskah untuk RAKYAT.

Perjuangan empat anak muda ini tidak harus dipandang enteng. Kugiran ini sudah melalui satu evolusi muzik yang hebat. Tanpa sengketa, mereka bertarung untuk satu kepastian. Ya… kepastian untuk berdiri di bumi sendiri. Kalian semestinya sedar dengan situasi pasaran muzik di Malaysia pada masa kini. Tepat pada waktunya saya membicarakan tentang sebuah kugiran yang selayaknya diberi penghargaan memandangkan ’demam indie’ yang melanda.

Muzik umpama medium yang memerlukan idea serta kreativiti matang bagi memantapkan sesebuah persembahan. Inilah yang dilakukan oleh Butterfingers. Jika disoroti, mereka telah berevolusi sedari album pertama. Untuk titik mula, mereka dilabelkan sebagai ’NIRVANA’ Malaysia. Itu saya akui kerana remaja pada masa itu begitu taksub dengan attitude yang dimulakan Kurt Cobain. Tetapi, segalanya berubah bilamana Butterworth Pushfull dilahirkan. Buttersound mulai tercipta (walaupun masih ada saki baki Seattle Sound) dalam setiap lagu yang dihasilkan. Elemen Melayu klasik moden dapat diamati pada susunan lagu Vio Pipe (pandangan peribadi penulis) menerusi gesekan biola yang dimainkan oleh Emmett. It was suprised to heard from a grunge band.

Namun, dua album pertama tidak dapat mengatasi keistimewaan album ketiga. Trancendence menjadi fenomena buat mereka. Berbekalkan cover album klasik yang diadaptasi daripada gambar barisan Kesultanan Melayu Kelantan, Butterfingers mencetus kegilaan dikalangan anak muda pada penghujung tahun 90-an. Dan…buat pertama kalinya mereka merencanakan tour di negeri Cik Siti Wan Kembang(sungguhpun tidak menjadi kenyataan). Alatan muzik tradisional digunakan secara minimal dalam penghasilan album fenomena ini. Di sini bermulanya Buttersound yang selalu dilaungkan oleh Loque dan rakan-rakan seperjuangan. Tika dan saat ini jugalah Loque telah mengeluarkan satu kenyataan kontroversi yang menggemparkan arena muzik Malaysia. “MUZIK ROCK MALAYSIA TELAH MATI”. Pedas…padat…dan tepat. Ego mereka ada benarnya.

Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang kenyataan Loque. Malayneum…tajuk yang sedikit metaphore untuk album studio keempat mereka. Kugiran ini seolah-olah telah bersedia untuk mara jauh ke depan meninggalkan trend muzik ketika itu. Hebat…kejutan yang paling hebat. Pandangan saya (sebagai pencinta muzik) album inilah yang memiliki buttersound sebenar. Inilah masterpiece muzik Malaysia. Mereka telah mendahului zaman. Susunan lagu amat memberangsangkan sekaligus saya berani mengatakan album ini akan diburu pencinta muzik (rock) amnya dalam jangkamasa 10 tahun mendatang. Believe me…Malayneum adalah naskah untuk masa depan. Mereka telah mendahului zaman malah secara sedar atau tidak, Emmett telah mula bersyair dalam single pertama album ini. Kalian harus mendapatkan album malayneum untuk memastikan kenyataan saya. Jika di Barat, mereka memuja U2 sebagai pemuzik genius, di Malaysia, kita juga berbangga dengan Butterfingers yang tidak kurang ‘kegeniusan’ mereka.

Selamat Tinggal Dunia dihasilkan sebelum Emmett berangkat ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran. Kalian sedia maklum bahawa Emmett kurang fasih berbahasa Melayu. Malah, Loque juga pernah membuat kenyataan yang mereka tidak akan mencemarkan bahasa ibunda dalam perjuangan muzik mereka. Manusia tetap manusia. We’re not perfect. Sebelumnya, album melayu pertama mereka dikatakan bertajuk ‘Urusan Seri Paduka Baginda’. Mungkin ia akan menimbulkan provokasi dari pihak berkepentingan maka diolah kepada Selamat Tinggal Dunia. Album studio kelima Butterfingers telah memberi impak kepada muzik tanahair. Ini bukan album melayu biasa. Ini ALBUM MELAYU. Ya…album melayu untuk melayu. Bahasa Melayu yang digunakan merupakan bahasa yang jarang dimuatkan dalam lagu-lagu ‘konvensional’(hee…hee). Bak kata Loque;BAHASA ISTANA. Halatuju buttersound semakin jelas terutamanya pada struktur lagu ‘Tentang-Tentang’ yang melodinya berdasarkan lagu rakyat yakni ‘Geylany Si Paku Geylang’. Dan…semestinya Merpati Sejoli (pilihan saya) berjaya membuat pukulan balas kepada mereka yang berkenaan. Makhluk-makhluk perosak industri muzik Malaysia!!! Syabas Butters!!! Siapa makan cili, dia yang terasa pedas.

Kini, mereka kembali dengan KEMBALI. Saya klasifikasikannya sebagai album RAKYAT. Evolusi lengkap buttersound makin terserlah. Memuatkan 11 lagu melayu yang tidak mungkin kalian dapati daripada kugiran seberang. ‘Post-Classic-Modern-Malay-Rock’. Saya tidak pasti untuk meletakkan genre pada muzik mereka kali ini. Paling tepat disebut hanya BUTTERSOUND. Vokal Emmett juga bertambah solid dengan sebutan Melayu Malaysia dan bukannya Melayu ’indon’. Lirik dihasilkan berteraskan pantun dan seloka serta protes jiwa anak muda Malaysia. Sebutan Emmett dalam nyanyian berdasarkan cara percakapan sebenar rakyat Malaysia. Sebagai contoh, huruf vokal ‘A’ di akhiran perkataan disebut ‘E’. Contoh; ‘mana’ disebut sebagai ‘mane’. Ia sebagai menyahut seruan kerajaan supaya tidak menggunakan bahasa baku dalam komunikasi harian. Single pertama bertajuk 1000 Tahun (mahu hidup) sangat memeranjatkan. Lirik dimulakan dengan ayat-ayat biasa yang tidak pernah terfikir dek akal: MEMANGLAH PENAT, TAPI MACAM MANA NAK BUAT. Pernahkah kalian terfikir, ayat-ayat yang sering kita guna berkali-kali dapat dijadikan sebagai lirik??? Kegilaan mereka juga tidak dapat dibendung sehingga mereka berani memujuk Pak Kassim Masdor(otai) untuk berkolaborasi bersama dalam sebuah lagu keroncong bertajuk Merdeka. Loque sememangnya sudah tidak waras..ha..ha… Ketaksuban Loque terhadap pelopor muzik Melayu telah mempengaruhinya untuk memainkan kembali cebisan karya R.Azmi dalam lagu ‘Lengkap Semula’ dan karya seniman agung Tan Sri P.Ramlee dalam lagu ‘Mati Hidup Semula‘. Juga terdapat ‘noise’(kebingitan) pada hampir keseluruhan lagu yang mungkin menggambarkan halatuju Butterfingers seterusnya.

Saya menulis bukan untuk bodekkan. Saya menulis berdasarkan pengalaman selama mengikuti perkembangan ’pergerakan Butters’. Secara peribadi, Butterfingers berjaya membuktikan bahawa budaya Barat boleh diadaptasi. Namun, ia hendaklah ditapis bagi membuang sisa-sisa kuning yang tercalit. Mengambil petikan lirik lagu Mendaki Menara Condong; ‘Peristiwa…Berlaku dengan sebab…Terus Mara Ke Depan’. Jangan malu mengaku Melayu. Ayuh!!! Buktikan anak Malaysia mampu hidup di negara sendiri. SEKARANG…SEMUANYA LENGKAP! Adiosss…

DAH 2 HARI AKU TAK TIDUR

Assalamualaikum…aku harap kalian faham keadaan aku sekarang. Aku tidak sekali-kali meminta belas ihsan dari kalian. Sehingga saat aku ini, aku masih mencari Anney yang hilang. Tanpa sebarang berita, khabar, atau pesanan, Anney tetap hilang dan kehilangan Anney masih menghantui aku. Dan buat julung kalinya aku tidak dapat melelapkan mata sehinggakan habis rambut aku hilang (gugur). Apa kaitan rambut dengan tidur??? Eh…itu aku sengaja jadikan ia sebagai satu perumpamaan. Realitinya, memang tiada kaitan langsung.

Okay… Aku rasa kalian keliru. Aku rasa aku sendiri masih keliru. Bingung, misi terkalih(apa ni?), prejudis, derita, hadap lorong, rungsing, gali longkang, sudip patah, semuanya berlegar-legar di benak fikiran. Aku masih mencari, berharap dan masih berharap seperti berharap kepada tiang lampu. Cuma satu perbezaan yang amat jelas di antara Anney dan tiang lampu. Anney memiliki Nur yang hakiki yakni cahaya yang semulajadi. Sebaliknya tiang lampu hanya memberi satu harapan yang tak pasti samada ia akan terus menyala atau tumbang menyembah bumi akibat dihempap pokok.

Ah…kita lupakan Anney seketika (jap lagi kita cari balik). Aku ingin berterus terang dengan kalian. Secara terus terang, tanpa berselindung, Anney telah aku ketemu namun aku masih bernasib malang sebab aku terlupa…bukan lupa…tertinggal. Lebih parah aku terlupa apa yang aku tinggal..??? Jadi aku rasa elok kita lupakan saja. Langsung tak membuahkan hasil. Kalau dulu aku dengar nasihat kawan baik aku, sekarang aku mungkin menjadi seorang saudagar ‘Buah Naga’(dragon fruit). Inilah hasil dalam erti kata sebenar.

Pencarian aku tersentak oleh jelmaan dua insan yang amat aku sayangi. Aku bagaikan bermimpi, namun ia benar dan ketulusan mereka sangat jelas (tadi lu cakap lu dah 2 hari tak tidur, macam mana boleh ada mimpi pulak ni??). Sabar…kalian jangan cepat marah. Kata orang tua-tua, bila kita tua nanti,kita mungkin akan diserang angin ahmar. Dan yang paling ditakuti, sejarah perubatan tidak menunjukkan keputusan yang positif yang kita tidak akan mati. Justeru, aku harap kalian dapat bersabar dan terus bersabar sebab sabar itu sebahagian dari…

Ya…2 insan yang aku maksudkan tadi ialah Encik Isnin Gembira dan adik kesayanganku…Cik Venee. Tapi adik aku ni pemalu orangnya. Encik Isnin memiliki sifat yang sama namun satu ketidaksamaan yang dapat aku tafsir, yang sudah bertahun aku perhati, Encik Isnin mempunyai sepasang bingkai aneh yang sering dipadankan di kedua-dua belah matanya. Aku sering bertanya kepada Encik Isnin dan aku menerima jawapan yang sama walaupun aku tidak pernah berpuas hati dengan jawapan yang diberi. Tahukah kalian apa yang Encik Isnin sarung di kedua-dua indra ciptaan Ilahi ini??? Spek… Emm…kaca mata barangkali.

Berbalik kita kepada adik aku tadi, Cik Venee. Untuk lebuh mengenali Cik Venee, aku sarankan kalian bertanya kepada Cik Ke If Jules. Mungkin dia tahu serba sedikit latar belakang adik aku tapi aku berani bersumpah dengan kalian yang Cik Ke If Jules langsung tidak mengenali adik aku. Kesimpulannya, kalian tak perlu susahkan Cik KeIf Jules sebab buat masa sekarang dia sedang menghadapi satu peperiksaan penting. Aku kurang pasti tujuan pemeriksaan yang dilakukan ke atas Cik Ke If Jules…kenapa dia perlu diperiksa??? Exam la ngok!!! Oooo… Eh…maaf…kat mana tadi??? Adik lu… Ya…adik aku… Kalian harus faham perbezaan di antara ikatan kawan-kawan dengan ikatan kawan-adik-kawan. Kawan ertinya sahabat (laaa) dan kawan-adik-kawan bererti kawan yang berkawan-kawan dengan kawan-kawan kita yang berupa kawan rapat,kawan paling rapat, menganggap kita sebagai kawan yang sifat kekawanannya lebih dari seorang kawan. Maksud aku kawan-adik-kawan. Ye..ahh..adik beradik lah…susah sangat nak faham. Tapi jelmaan 2 insan kesayangan aku hanya seketika. Aku hanya sempat menjamu sedikit juadah bersama mereka(kena paksa). Secara tiba-tiba mereka hilang hanya dalam sekelip mata. Aku tidak pasti ke mana haluan mereka. Tapi aku yakin mereka akan kembali…kembali dengan kemenangan…kembali membawa satu jawapan untuk aku dan untuk kalian semestinya. Aku harap kalian bersedia untuk khabar gembira dari mereka.

Eh…aku terlupa. Anney…di mana Anney??? Sedari tadi aku bercerita dengan kalian, langsung aku lupakan Anney. Aku fikir kita berikan Anney ruang untuk muncul. Aku sentiasa berfikiran positif dengan kemunculan semula Anney. Hanya masa akan memberi jawapan…masa itu emas. Dan sifat yang paling mulia di kalangan umat manusia ialah sifat yang tidak mencerminkan…aku dah mengantuk, kita sambung kemudian. Kes Anney ni kita biarkan dulu… Assalamualikum…

SILA BACA SEMI CHORUS LAGU TERBARU VENEE LEMILY
‘SAMPAI BILAKAH…AKU HARUS…PERBODOHKAN DIRI’
‘SAMPAI BILAKAH…ENGKAU HARUS MEMUSNAHKAN DIRI’

entahla....

Assalamualaikum…aku rasa dah lama sangat aku tak jenguk kawan kawan aku kat sini. Aku harap sangat kalian masih mengingati aku. Yup…aku. Aku penat, lesu, dah tak ada daya sangat. Banyak benda yang aku kena buat. Apa??? Kalian harus faham. Aku insan biasa. Aku kehilangan. Siapa yang hilang??? Kalian harus bantu aku. Aku buntu, hilang punca, keliru. Aku sedang mencari Anney! Anney??? Siapa Anney??? Okay… Aku akan perkenalkan Anney untuk kalian bantu aku.

Anney…ermmm… Seorang orang yang aku kenal, jumpa, lebih kurang 3 bulan lepas. Masa tu nama dia lain…maaf…aku dah lupa. Aku hanya ingat nama Anney. Anney? Kenapa Anney??? Tolong jangan persoalkan. Aku tiada jawapan untuk semua soalan kalian. Aku hanya meminta sedikit ihsan kalian untuk sama sama mencari Anney yang hilang. Apa yang ada dengan Anney??? Wooo…soalan yang aku tunggu. Kalian harus tahu satu perkara yang sangat penting mengenai Anney. Anney adalah seorang wanita yang banyak mempengaruhi tatacara hidup aku walaupun aku baru mengenalinya. Apa yang berubah??? Banyak…terlalu banyak. Antaranya, aku telah berubah menjadi seorang ‘ORANG’.

Ke mana Anney menghilang??? Aku takkan minta bantuan kalian sekiranya aku tahu mana Anney pergi. Kali terakhir aku bersua muka dengan Anney…lebih kurang 3 minggu lepas. Kalian tahu apa yang Anney buat??? Anney memberi pesanan untuk aku hadapi hidup dalam masa sebulan yang mendatang. Aik??? Kenapa??? Apa pesanan yang Anney beri?? Anney cakap ‘I TAKDE NANTI,U JGN NGADA2 NAK NGURAT SAPE2 KT CNI. I XSUKE.KALO BOLEH, I XNK U KEJE KT CNI LG…I LUV U’….Apa yang kalian fikir? Aku pun sampai sekarang masih tak faham apa jenis pesanan yang Anney tinggalkan untuk aku. Tapi itu semua takkan menghalang aku untuk terus berusaha mencari Anney yang hilang. Kalian mesti terus bersama aku.

Tapi kenapa Anney menghilang tanpa sebarang berita??? Kenapa aku yang susahkan diri meminta bantuan kalian untuk mencari Anney??? Okay…aku cuma risau akan keadaan diri Anney. Siapa yang akan bantu Anney jika Anney ada sebarang kekusutan? Kalian perlu tahu bahawa Anney sangat suka akan susu soya asli V-Soy. Kalau dulu, aku akan dapatkan apa saja permintaan Anney,tapi Anney tak suka. Anney ingin berdiri sendiri. Berdiri dengan kaki dan sepatunya sendiri. ‘TAK PYH LA SSH2…ANNEY TH BUAT LA.ANNEY BKN BDK KCIK. JGN LYN ANNEY CAM DAK KCIK’.

Maafkan aku kerana menyusahkan kalian semua. Biarlah. Aku rasa kalian tak payah bantu aku kali ni. Susah sangat sebab Anney ni takkan suka walau apa pun yang aku buat. ‘CAM NI LA…U XPYH NK TANYE2 I SHT KE X..I OK..U JUST TAKE CARE OF URSELF.I BKN BDK KCIK..XKN SUME BNDA I NK BG TH U..’ Jadi…biarlah..Aku minta maaf sangat sebab dah susahkan kalian. Tak lama lagi balik lah tu.
Balik??? Ye la… KEMBALI. Satu lagi aku nak minta kalian bantu aku.
TOLONG BACA LIRIK LAGU NI BETUL-BETUL. BACA BANYAK KALI PUN TAKPE..

MEMANGLAH PENAT…TAPI MACAM MANA NAK BUAT.SUDAH TERLAMBAT BARU NAK CEPAT,TERPERANJAT.HARAP MAAFKAN…DI ATAS SEGALA KESULITAN.PERSELISIHAN YANG DIHADAPI, SELAMA INI.AMAT DIKESALI…TAKKAN BERULANG LAGI.

KEMBALI…KEMBALI KEPADA SELAMANYA.KEMBALI…KINI KU BANGUN SEDAR DARI MIMPI. KEMBALI…KEMBALI KEPADA KE PETAK PERTAMA.KEMBALI…KU MAHU HIDUP 1000 TAHUN LAGI.

SAYA TAK AKAN MENGAMBIL KESEMPATAN WALAUPUN.DIRIKU INI KESEMPITAN…DI AWAN KE-9. KOTARAYA…KOSMOPOLITAN INI PENUH DENGAN.IBLIS DAN SYAITAN PENUH DUGAAN.KALAU JATUH LAGI…BERDIRI KEMBALI…SEKALI LAGI.

FRIENDS

Assalamualaikum…dah lama aku tak menulis. Terlampau sibuk dengan urusan dunia. Kelam kabut untuk mengisi satu karung yang bodoh…perut. Aku ada banyak cerita untuk dikongsi dengan kalian. Setelah sekian lama, akhirnya aku telah berpeluang berjumpa dengan kawan aku punya kawan.
Sebenarnya dah lama aku nak jumpa dengan kawan aku punya kawan ni. Tapi kawan aku ni susah sikit. Dia langsung tak nak mengaku yang dia sudah terjatuh di tempat yang paling indah dalam hidup (jatuh cinta). Banyak alasan yang dia beri. Tapi aku faham…bukan senang nak jadi senang yang senang untuk semua senang faham..???

Aku rasa elok kita menggelarkan diri kawan aku punya kawan ni sebagai CIK VENEE. Aku tak tahu kenapa kita patut gelar dia dengan nama tu tapi aku suka. Dan aku harap kalian pun suka (mesti) dengan nama tersebut. Dan untuk menjadikan cerita ni lebih menarik, aku ingin sekali memberi amaran kepada kalian. Tolong jangan usik-usik CIK VENEE kita. Sayangilah beliau kerana…emmmm..tak tahulah…
Dengan sekali pertemuan saja aku dah boleh agak bahawa CIK VENEE ni orang baik. Emmm…macam mana nak cakap haa… Pernah tak kalian mengunjungi rumah teman-teman kalian yang kalian tak kenal…? Macam mana layanan mereka??? Daripada cara hidang air kita dah boleh agak macam mana karakter seseorang tu…Betul tak???

Cantik…Sopan…Ayu…(sory dude din)…tapi betul. Patut la kawan aku takut nak kenalkan aku dengan kawan dia yang seorang ni. Takut yang sangat takut untuk takut kepada sesuatu yang takut. Faham tak??? Tapi sayang, aku tidak berkesempatan untuk bersembang lebih lama dengan CIK VENEE sebab…ala…kerja yang…aku pun tak tahu kerja apa yang aku buat.

Walau bagaimanapun, aku tetap bertuah untuk satu tuah yang dituahkan untuk aku kerana akhirnya bertuah mengenali kawan yang sangat bertuah berkawan dengan kawan baik aku yang tuahnya sentiasa baik. Terima kasih kerana sudi untuk berjumpa dengan aku kerana setelah sehari aku meredah hujan menyelusuri federal highway, pusing balik ke kl…kena hujan lagi…namun kemuncaknya aku berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan. Aku hanyalah seorang kawan yang berkawan untuk membahagiakan kawan dan kawan aku punya kawan. Aku tak kisah… Aku faham.

Hidup umpama berjuang. Pernahkah kalian fikir(cuma sedetik), bilakah kalian akan mati. Tolong luangkan masa sejenak. Fikir… Apa akan jadi. Bila kalian sudah tiada, Apa yang kalian boleh bayangkan??? Emm…fikirkan. Aku juga ingin sekali berpesan kepada semua golongan wanita. Wanita adalah syurga bagi lelaki. Maafkan aku…tapi ini kenyataan. Jagalah nama baik keluarga, diri, dan yang paling utama agama kita. Aku bukan sekadar tulis ikut suka hati aku je tapi berdasarkan pengalaman aku sendiri. Aku pernah menyayangi tapi sayang…insan yang digelar penyayang rupa-rupanya syaitan yang tak pernah aku sangka wujud dalam dunia aku yang terlalu daif ini.

Janganlah perhambakan diri kalian kepada dunia. Kelak ke neraka juga akhirnya. Aku tak mampu untuk menahan seorang insan berjuang di lorong yang sempit di celah-celah curang yang gelap. Aku hanyalah insan yang mencari kepastian melalui likuan kuli yang dihimpit oleh akal yang panjang. Aku bertindak mengikut hati akal… emmm…dengan kata lain ‘main redah je’. Tapi nasib aku baik… Syaitan yang mendampingi aku hilang…sebaliknya kawan yang aku tak pernah perasan akan kebaikan mereka sejak kemunculan Syaitan bertalu-talu datang membantu.

Terima kaseh…jutaan terima kaseh…terima kaseh banyak sebab ramai yang menyokong aku. Sham, Zam, Moque, Kammel, Che ‘li’ Guera, Zaza, D’ Great, Joe, Sabri, Joe(itm..haha), Aiman, Ema, Che Rose, Ake, C-me, Adek, dan kawan aku yang paling…aku tak tahulah…dah macam abang aku…kherell. Dan yang paling istimewa sepasang venee yang sangat padan…maaf…din…aku ’salute’. Aku harap kalian kawan elok-elok. Jadi, aku harap kalian berdoa bersama-sama aku semoga sepasang venee akan terbang bersama dan akan tetap terbang walaupun sayap venee cedera akibat angin kencang. Banyak lagi nama yang ingin aku tulis tapi…banyak sangatlah…terima kaseh kalian semua.

Dan aku sangat bertuah mengenali CIK LYLA LIAM yang telah bertukar kepada KEIF LOVE JULES. Walaupun aku tak pernah berjumpa walau sekali dengan beliau namun beliau selalu berikan aku satu semangat untuk kekal menulis. Thanks IF…

Terima kaseh CIK VENEE… Terima kaseh Mr. hepi monday. Ingat satu perkara saja…Kawan yang baik tidak semestinya baik (untuk kita semua). Aku berpesan untuk kalian semua. Berwaspada dengan keliling. Jangan dengar cakap orang. Bila kalian ada kepercayaan, segala masalah boleh diselesaikan. Jangan syak wasangka. KEPERCAYAAN ADALAH KUNCI UTAMA. Aku bukan baik sangat tapi bila kita dikelilingi olek kawan-kawan yang baik maka akan ada sedikit kebaikan yang bakal wujud. Ambil masa, cuba ingat kembali bagaimana sikap kalian dengan teman serumah, rakan sebilik, rakan sekampung…dan bagaimana sikap rakan kalian… Jika sesuatu yang kalian fikir sama dengan rakan kalian fikir maka pertalian kimia antara kalian memang selari. Dan yang paling aku tak sangka ‘hari aku jadi’(harijadi) sama dengan kawan aku punya ‘hari dia jadi’(harilahir). You know who you are??? And CIK VENEE kena tahu ni…emmm…bye!