Wednesday, August 5, 2009

PEREMPUAN KALIS PELURU

Tanggal 19 Julai meninggalkan satu titik noktah dalam pencarian aku selama ini. Tiada yang lebih istimewa selain melainkan mendapat apa yang dihajati. Aku menggagau dalam kegelapan untuk sampai ke tahap sekarang. Dua minggu sudah aku diduga dengan satu dugaan yang perit. Saat itu aku rasakan pisau yang aku simpan telah terjatuh ke lantai lantas diambil oleh orang ‘bernama’ lalu di letak pada leherku. Dunia gelap seketika. Mereka umpama samseng yang tidak menghiraukan adab tatasusila sebagai seorang manusia. Aku dan dua kawanku menagih simpati supaya dilepaskan. Kuasa tuhan, kami tidak diapa-apakan. Bermula dari saat itu, aku berjanji untuk tidak memandang ke bawah lagi. Aku akan terus mendongak ke langit mengharapkan akan ada hujan emas yang biasanya turun di negeri orang, tidak di negeri kita.

Alhamdulillah, Allah itu maha besar. Aku berjaya meninggalkan gerabak yang kotor, yang dahulunya sanggup aku huni semata-mata untuk mendapat seciput penghargaan. Siapa yang sanggup berenang di lautan api? Itu hanya cerita rekaan sang pujangga yang bercita-cita tinggi untuk berlagak di hadapan sang puteri. Mana yang lebih baik? Katak di bawah tempurung atau katak di luar tempurung? Bagi aku, sempadan tidak membataskan pergerakan. Kepada katak di bawah tempurung, belajarlah bermain di sekitar luar tempurung untuk seketika. Tapi awas, jangan pergi terlalu jauh. Bila tiba waktu malam, pulanglah semula ke bawah tempurung. Dan, untuk katak di luar tempurung, cuba pujuk dan beri kata-kata semangat kepada katak yang masih sukar untuk keluar dari tempurung mereka. Senang bukan?

Jangan mudah terpengaruh dengan sebarang tipu daya. Tiada yang sempurna namun kesabaran adalah satu senjata yang dapat mematahkan erti keegoan. Selama ini aku bernafas dalam ego, aku hipokrit, terlalu mengharapkan ihsan untuk hidup. Sukar dipercayai, selepas 19 Julai, segalanya berubah. Selepas terlepas dari tebing gurun yang sempit, aku mengurut dada tanda kelegaan kerana terselamat. Belum sempat menoleh untuk melihat wajah sang penyelamat, mataku mengalir tanda gembira. Baju kalis peluru yang aku tempah suatu ketika dulu telah dipakai oleh sang penyelamat. Riak wajahnya tidak menunjukkan sebarang erti. Hanya tersenyum sambil melambaikan tangan untuk pulang beristirehat. Penat agaknya.

Tiga tahun lalu, aku seperti bangkai hidup. Seakan-akan insan yang ditumpangi oleh sejenis makhluk yang tidak mahu meninggalkan tuannya. Sahabat tidak dapat diukur menerusi tanda hitam pada dahi. Itu soal lain, hanya Allah yang layak berurusan dengan setiap makhluknya. Namun, tidak dinafikan, kawan yang sering bergurau senda dengan aku sehingga kepala aku dimainkan seperti bola datang menghulurkan bantuan. Kata orang, erti persahabatan bukan terletak pada sebanyak mana kita 'add' kawan pada laman Myspace. Persahabatan memerlukan kesudian membantu dalam apa jua musibah. Tapi, aku percaya, dalam 10 orang, belum tentu seorang pun dapat bertahan memberi ihsan.

Aku suka bermimpi. Dulu, aku sering bermimpi. Berjalan di tepian pantai. Belajar memandu? Ahh...itu cerita lama. Mungkin berkongsi tempat duduk dalam bas lebih selamat. Tapi, hati-hati! Pemandu bas sekarang mengejar trip. Maklumlah, gaji tak seberapa, anak isteri memerlukan duit lebih. Mana nak hantar anak ke tuisyen, sekolah agama, belajar muzik, taekwando, kadang-kadang ada juga yang belajar silat secara sendirian. Zaman dah berubah, masyarakat kita lebih suka membaca kisah rogol di akhbar tabloid daripada ceramah tentang Israk Mikraj di masjid. Betul, pak imam tetap dapt duit dari kerajaan. Itu bukan persoalannya. Yang penting, pergi ke masjid. Kalau tak genap 40 jemaah, sakit la sikit. Setakat derma ke tabung masjid tidak membantu untuk kepastian syurga.

Suatu ketika dulu, sang penyelamat yang berbaju kalis peluru tadi memerlukan melodi untuk menutup kelopak mata yang semakin kuyu...bukan...layu. Sebuah kotak yang dilarik halus berbentuk bulat yang mempunyai kayu panjang diambil. Pada kayu panjang itu pula terdapat tali kecil yang mengeluarkan bunyi. Entah kenapa seluruh semesta menamakannya sebagai GITAR. Siapa yang mencipta terma tersebut? Kenapa tidak PITAR atau KITAR? Biarkan saja. Sesudah itu, aku disuruh bermain sebaris lagu sebagai alatan dodoi untuk hiburan beradu. Pemilik lagu tersebut bernama Sir Eric Clapton. Setahu aku, lagu tersebut digubah untuk permaisuri kesayangannya. Berbalik kepada nama pemilik lagu tadi, ada pangkat di pangkal nama beliau. Sir??? Mungkin juga tarafnya seperti Datuk di negara kita. Tapi, jarang sekali kita mendengar perkataan Sir melainkan Sir Elton John dan Sir Alex Ferguson. Sebaliknya, dalam 27 juta rakyat Malaysia, secara kasar aku anggarkan tidak kurang suku dari jumlah tersebut telah selamat ditabalkan sebagai Datuk, Dato' atau datuk(ada cucu).

Aku pernah menunggang Vespa. Warna hijau, cantik juga walaupun terpaksa tukar suka sama suka buat seketika dengan seorang sahabat. Selalu juga buat hal. Aku suka menghabiskan masa di sebuah gerai kuning berdekatan rumah sang penyelamat berbaju kalis peluru. Suasana pun nyaman. Tapi, setiap kali datang rakan sedarjah, aku pakai topeng. Bukan apa, aku tidak suka kepada publisiti. Bagi aku, majalah hiburan di Malaysia hanyalah berkiblatkan kolam renang. Aku suka muzik rock, aku tak pernah kerja pejabat, perut aku buncit...buruknya! Tak mungkin aku sanggup untuk berenang di kolam renang sambil membuat pose maut bagi tatapan pembaca. Ya...kedai kuning tadi menjual satu menu masakan yang aku paling suka. Mi...eh, mee. Kedai burger pun ada.

Aku punya seorang ibu yang sudah tidak berdaya berjalan jauh. Bukan aku tak mahu balik kampung. Dulu, aku baru saja mendapat kerja dan pada musim perayaan, aku terpaksa bertugas. Sedar tak sedar, sudah dua tahun aku tidak pulang ke kampung halaman. Mungkin sudah ada TOL di depan rumahku. Buat pengetahun semua, sang penyelamat berbaju kalis peluru tadi pernah bersalam dengan orang tuaku. Dikucup tangan ibuku sebelum pulang. Harapannya ingin melihat anak lelakinya gembira. Ya...aku gembira. Aku terima segala dugaan. Aku tinggalkan kampung halaman untuk melupakan cerita ceriti yang palu...pilu. Dulu, aku pernah berhenti merokok atas desakan seseorang(perempuan kalis peluru). Aku tahan nafsu laparku sehingga lebih 20 kilogram berat badanku hilang entah ke mana. Mungkin jatuh semasa aku membonceng motorsikal bersama Simi. Budak ni kalau bawa motorsikal tak pernah perlahan. Itu dulu. Sekarang berat ku bertambah dua kali ganda lebih dari sebelumnya. Aku tak kisah. Yang penting aku gembira. Tapi mungkin hayat hidup aku tak akan bertahan lama. Dua, tiga tahun lagi GOL la kot.

Kini, perempuan kalis peluru telah kembali. Baju kalis peluru telah ditanggalkan. Yang ada cuma seluar jeans yang...kenapa dah koyak? Biarlah...mungkin tahun ni, dia terlalu sibuk dengan urusan pekerjaan. Nasib baik rambutnya tidak dipotong. Tapi awas! Jangan ditegur, takut nanti dipendekkan cerita, maka pendeklah juga rambutnya. Aku suka N0.23...eh tidak...NO.19. Aku tidak mengharapkan segunung harapan. Aku hanya ingin melihat baju kalis peluru tidak dibiarkan terseret di jalan raya. Aku pernah memandu sambil diperhati oleh perempuan kalis peluru. Jadi, pastikan baju kalis peluru disimpan sehingga ke...entah...rumah. Aku hanya ingin berkawan. Tidak lebih dari sekeping nota 'terima kasih'. Aku tinggalkan segala kejadian tsunami dalam diriku untuk balik ke pangkal jalan. Insyaalah, jika masih utuh, aku balik kampung sempena musim perayaan tahun ni. Tiket bas pun bukan senang nak dapat. Aku pernah naik bas tambahan. Itupun terpaksa berganti bas di pertengahan jalan. Beriku sedikit masa. Akanku buktikan kepada dunia...tahun ni aku balik kampung!

MA...YUH MINTAK MAAF!

No comments: