Wednesday, August 5, 2009

PEREMPUAN KALIS PELURU

Tanggal 19 Julai meninggalkan satu titik noktah dalam pencarian aku selama ini. Tiada yang lebih istimewa selain melainkan mendapat apa yang dihajati. Aku menggagau dalam kegelapan untuk sampai ke tahap sekarang. Dua minggu sudah aku diduga dengan satu dugaan yang perit. Saat itu aku rasakan pisau yang aku simpan telah terjatuh ke lantai lantas diambil oleh orang ‘bernama’ lalu di letak pada leherku. Dunia gelap seketika. Mereka umpama samseng yang tidak menghiraukan adab tatasusila sebagai seorang manusia. Aku dan dua kawanku menagih simpati supaya dilepaskan. Kuasa tuhan, kami tidak diapa-apakan. Bermula dari saat itu, aku berjanji untuk tidak memandang ke bawah lagi. Aku akan terus mendongak ke langit mengharapkan akan ada hujan emas yang biasanya turun di negeri orang, tidak di negeri kita.

Alhamdulillah, Allah itu maha besar. Aku berjaya meninggalkan gerabak yang kotor, yang dahulunya sanggup aku huni semata-mata untuk mendapat seciput penghargaan. Siapa yang sanggup berenang di lautan api? Itu hanya cerita rekaan sang pujangga yang bercita-cita tinggi untuk berlagak di hadapan sang puteri. Mana yang lebih baik? Katak di bawah tempurung atau katak di luar tempurung? Bagi aku, sempadan tidak membataskan pergerakan. Kepada katak di bawah tempurung, belajarlah bermain di sekitar luar tempurung untuk seketika. Tapi awas, jangan pergi terlalu jauh. Bila tiba waktu malam, pulanglah semula ke bawah tempurung. Dan, untuk katak di luar tempurung, cuba pujuk dan beri kata-kata semangat kepada katak yang masih sukar untuk keluar dari tempurung mereka. Senang bukan?

Jangan mudah terpengaruh dengan sebarang tipu daya. Tiada yang sempurna namun kesabaran adalah satu senjata yang dapat mematahkan erti keegoan. Selama ini aku bernafas dalam ego, aku hipokrit, terlalu mengharapkan ihsan untuk hidup. Sukar dipercayai, selepas 19 Julai, segalanya berubah. Selepas terlepas dari tebing gurun yang sempit, aku mengurut dada tanda kelegaan kerana terselamat. Belum sempat menoleh untuk melihat wajah sang penyelamat, mataku mengalir tanda gembira. Baju kalis peluru yang aku tempah suatu ketika dulu telah dipakai oleh sang penyelamat. Riak wajahnya tidak menunjukkan sebarang erti. Hanya tersenyum sambil melambaikan tangan untuk pulang beristirehat. Penat agaknya.

Tiga tahun lalu, aku seperti bangkai hidup. Seakan-akan insan yang ditumpangi oleh sejenis makhluk yang tidak mahu meninggalkan tuannya. Sahabat tidak dapat diukur menerusi tanda hitam pada dahi. Itu soal lain, hanya Allah yang layak berurusan dengan setiap makhluknya. Namun, tidak dinafikan, kawan yang sering bergurau senda dengan aku sehingga kepala aku dimainkan seperti bola datang menghulurkan bantuan. Kata orang, erti persahabatan bukan terletak pada sebanyak mana kita 'add' kawan pada laman Myspace. Persahabatan memerlukan kesudian membantu dalam apa jua musibah. Tapi, aku percaya, dalam 10 orang, belum tentu seorang pun dapat bertahan memberi ihsan.

Aku suka bermimpi. Dulu, aku sering bermimpi. Berjalan di tepian pantai. Belajar memandu? Ahh...itu cerita lama. Mungkin berkongsi tempat duduk dalam bas lebih selamat. Tapi, hati-hati! Pemandu bas sekarang mengejar trip. Maklumlah, gaji tak seberapa, anak isteri memerlukan duit lebih. Mana nak hantar anak ke tuisyen, sekolah agama, belajar muzik, taekwando, kadang-kadang ada juga yang belajar silat secara sendirian. Zaman dah berubah, masyarakat kita lebih suka membaca kisah rogol di akhbar tabloid daripada ceramah tentang Israk Mikraj di masjid. Betul, pak imam tetap dapt duit dari kerajaan. Itu bukan persoalannya. Yang penting, pergi ke masjid. Kalau tak genap 40 jemaah, sakit la sikit. Setakat derma ke tabung masjid tidak membantu untuk kepastian syurga.

Suatu ketika dulu, sang penyelamat yang berbaju kalis peluru tadi memerlukan melodi untuk menutup kelopak mata yang semakin kuyu...bukan...layu. Sebuah kotak yang dilarik halus berbentuk bulat yang mempunyai kayu panjang diambil. Pada kayu panjang itu pula terdapat tali kecil yang mengeluarkan bunyi. Entah kenapa seluruh semesta menamakannya sebagai GITAR. Siapa yang mencipta terma tersebut? Kenapa tidak PITAR atau KITAR? Biarkan saja. Sesudah itu, aku disuruh bermain sebaris lagu sebagai alatan dodoi untuk hiburan beradu. Pemilik lagu tersebut bernama Sir Eric Clapton. Setahu aku, lagu tersebut digubah untuk permaisuri kesayangannya. Berbalik kepada nama pemilik lagu tadi, ada pangkat di pangkal nama beliau. Sir??? Mungkin juga tarafnya seperti Datuk di negara kita. Tapi, jarang sekali kita mendengar perkataan Sir melainkan Sir Elton John dan Sir Alex Ferguson. Sebaliknya, dalam 27 juta rakyat Malaysia, secara kasar aku anggarkan tidak kurang suku dari jumlah tersebut telah selamat ditabalkan sebagai Datuk, Dato' atau datuk(ada cucu).

Aku pernah menunggang Vespa. Warna hijau, cantik juga walaupun terpaksa tukar suka sama suka buat seketika dengan seorang sahabat. Selalu juga buat hal. Aku suka menghabiskan masa di sebuah gerai kuning berdekatan rumah sang penyelamat berbaju kalis peluru. Suasana pun nyaman. Tapi, setiap kali datang rakan sedarjah, aku pakai topeng. Bukan apa, aku tidak suka kepada publisiti. Bagi aku, majalah hiburan di Malaysia hanyalah berkiblatkan kolam renang. Aku suka muzik rock, aku tak pernah kerja pejabat, perut aku buncit...buruknya! Tak mungkin aku sanggup untuk berenang di kolam renang sambil membuat pose maut bagi tatapan pembaca. Ya...kedai kuning tadi menjual satu menu masakan yang aku paling suka. Mi...eh, mee. Kedai burger pun ada.

Aku punya seorang ibu yang sudah tidak berdaya berjalan jauh. Bukan aku tak mahu balik kampung. Dulu, aku baru saja mendapat kerja dan pada musim perayaan, aku terpaksa bertugas. Sedar tak sedar, sudah dua tahun aku tidak pulang ke kampung halaman. Mungkin sudah ada TOL di depan rumahku. Buat pengetahun semua, sang penyelamat berbaju kalis peluru tadi pernah bersalam dengan orang tuaku. Dikucup tangan ibuku sebelum pulang. Harapannya ingin melihat anak lelakinya gembira. Ya...aku gembira. Aku terima segala dugaan. Aku tinggalkan kampung halaman untuk melupakan cerita ceriti yang palu...pilu. Dulu, aku pernah berhenti merokok atas desakan seseorang(perempuan kalis peluru). Aku tahan nafsu laparku sehingga lebih 20 kilogram berat badanku hilang entah ke mana. Mungkin jatuh semasa aku membonceng motorsikal bersama Simi. Budak ni kalau bawa motorsikal tak pernah perlahan. Itu dulu. Sekarang berat ku bertambah dua kali ganda lebih dari sebelumnya. Aku tak kisah. Yang penting aku gembira. Tapi mungkin hayat hidup aku tak akan bertahan lama. Dua, tiga tahun lagi GOL la kot.

Kini, perempuan kalis peluru telah kembali. Baju kalis peluru telah ditanggalkan. Yang ada cuma seluar jeans yang...kenapa dah koyak? Biarlah...mungkin tahun ni, dia terlalu sibuk dengan urusan pekerjaan. Nasib baik rambutnya tidak dipotong. Tapi awas! Jangan ditegur, takut nanti dipendekkan cerita, maka pendeklah juga rambutnya. Aku suka N0.23...eh tidak...NO.19. Aku tidak mengharapkan segunung harapan. Aku hanya ingin melihat baju kalis peluru tidak dibiarkan terseret di jalan raya. Aku pernah memandu sambil diperhati oleh perempuan kalis peluru. Jadi, pastikan baju kalis peluru disimpan sehingga ke...entah...rumah. Aku hanya ingin berkawan. Tidak lebih dari sekeping nota 'terima kasih'. Aku tinggalkan segala kejadian tsunami dalam diriku untuk balik ke pangkal jalan. Insyaalah, jika masih utuh, aku balik kampung sempena musim perayaan tahun ni. Tiket bas pun bukan senang nak dapat. Aku pernah naik bas tambahan. Itupun terpaksa berganti bas di pertengahan jalan. Beriku sedikit masa. Akanku buktikan kepada dunia...tahun ni aku balik kampung!

MA...YUH MINTAK MAAF!

Tuesday, April 7, 2009

REALITI VS FANTASI

Sesebuah program hiburan diterbitkan samada untuk mengejar keuntungan ataupun demi memeriahkan industri hiburan tanahair telah bercambah dengan pesat kebelakangan ini. Ianya boleh dikategorikan sebagai serampang dua mata yakni satu tujuan yang mempunyai dua matlamat. Namun, matlamat yang diimpikan tidak ditimbang tara dengan sebaik-baiknya. Sudah bertahun kita disogok dengan pelbagai program hiburan yang berkonsepkan realiti. Bermacam-macam nama program realiti yang kita dengar, yang kita tonton, yang kita undi, dan semestinya yang kita agungkan. Apakah yang kita faham dengan terma realiti? Adakah ia benar-benar realiti atau hanya sekadar sebuah fantasi.

Realiti dan fantasi. Apakah maksud disebalik dua perkataan ini? Realiti bermaksud seseuatu yang nyata atau kejadian yang benar-benar berlaku dalam kehidupan. Manakala fantasi pula bermaksud suatu angan-angan. Ini maksud yang mudah tanpa merujuk kepada kamus. Berbalik kepada perbincangan asal tadi, negara kita telah dilanda fenomena program realiti lebih kurang enam tahun lalu. Sepanjang itu jugalah, rakyat Malaysia telah sanggup berbelanja berjuta-juta ringgit dengan menjadi 'juri segera' yang bermaharajalela mengadili pelbagai pertandingan melalui undian SMS. Bagaimana kita mengukur bakat seseorang hanya berbekalkan undian SMS?

Maka timbul pendapat yang bersetuju bahawa program realiti berjaya melahirkan pelapis kepada seniman dan seniwati negara. Pendapat yang klise daripada kapitalis industri hiburan. Bila kocek dah kembung, semua yang buruk disorok. Tidak dapat dinafikan, wujud segelintir program realiti yang berjaya melahirkan penghibur yang berkualiti namun kuantitinya boleh dihitung dengan jari. Malah terdapat sesetengah artis yang menjadikan program realiti sebagai medium untuk menonjolkan diri setelah bertahun ditenggelami kerumitan industri hiburan.

Kewujudan pelbagai program realiti menyebabkan kebanyakan rakyat Malaysia menyimpan cita-cita untuk mengikut jejak langkah idola mereka. Maka, berduyun-duyun peserta yang kononnya mempunyai bakat terpendam membuang masa untuk hadir bila mana sesi ujibakat diadakan. Mereka mengimpikan fantasi yang disimpan berabad lamanya menjadi realiti. Tidak menjadi kesalahan jika ada yang benar-benar berbakat. Namun, jika bakat hanya seciput dan memerlukan masa bertahun untuk diasah bakat itu, seeloknya cari kerja yang berpatutan. Lupakan fantasi indah untuk berada di atas dan yang paling penting, tidak semua fantasi yang diimpikan bertukar menjadi realiti.

Menariknya di sini, semua program realiti telah menyediakan barisan seniman dan seniwati yang hebat tetapi mereka hadir bukan untuk mengadili persembahan. Sebaliknya hanya sekadar memberi teguran atau kritikan yang mungkin dapat mempengaruhi undian SMS. Boleh dikatakan, ianya gimik semata-mata bagi memeriahkan program realiti yang diterbitkan. Adakah ini membantu? Dari segi persembahan, ia sememangnya membantu melalui teguran dan tunjuk ajar yang diberi. Tetapi, dari segi masa panjang ia hanyalah strategi sementara yang tidak banyak memberi manfaat kepada peserta program realiti. Bintang tidak boleh digilap melalui penilaian sementara. Bakat hanya boleh bersinar melalui pembelajaran, pengetahuan, dan yang paling penting pengalaman. Bakat yang lahir dalam jangkamasa tiga hingga empat bulan tidak mencerminkan sesuatu yang tulen.

Populariti...Satu terma yang menjadi igauan seluruh masyarakat. Kebelakangan ini, frasa popular menjadi sub-budaya bagi anak-anak muda. Populariti berada pada hierarki yang paling atas berbanding kerjaya. Ini kenyataan, bukan sondolan pendapat semata-mata. Apabila populariti seseorang itu meningkat, secara automatik poket akan berisi menandakan kerjaya turut meningkat. Sepatutnya populariti bersandarkan prestasi kerjaya yang baik. Tanpa usaha, 'sebiji kelapa tidak akan berubah menjadi semangkuk santan'.

Walau bagaimanapun, disebalik kepopularitian program realiti,ia sedikit sebanyak membantu menaikkan atau memberi ruang kepada karya-karya pemuzik tempatan samada dari arus perdana atau pemuzik-pemuzik bebas. Dengan situasi 'mass market' yang menonjolkan banyak pemuzik-pemuzik bebas masakini, tempiasnya turut dirasai oleh program realiti. Banyak karya-karya mereka dipertaruhkan oleh peserta program realiti dan inilah kelebihan sebenar program realiti. Ia mempunyai jutaan peminat di seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei. Kita ketepikan soal undian SMS, kritikan atau pertunjukan fesyen. Apa yang pasti ialah 'coverage' yang diberi. Sebagai contoh; Band A merupakan sebuah kugiran bebas yang sedang meningkat naik. Kebanyakan penonton(umum) mungkin pernah mendengar tentang kebangkitan Band A tanpa mengenali karya-karya mereka. Jadi, bila peserta program realiti mendendangkan karya mereka, secara tidak langsung penonton akan lebih tertarik untuk mengenali pemilik asal karya yang dipertaruhkan. Harus diingat, program realiti ditonton oleh jutaan peminat. Ya...Pemuzik bebas tidak mengejar populariti. Ini bukan populariti buatan wartawan hiburan tapi satu ransangan atau suntikan yang meluaskan 'network' untuk pemuzik-pemuzik bebas.

Oleh yang demikian, program realiti mempunyai pro dan kontranya sendiri. Bukan semua program realiti itu berjaya dan begitulah sebaliknya. Kebanyakan program realiti hanya indah khabar dari rupa. Bakat tidak berteraskan paras rupa, fesyen rambut, kasut mahal, jam Swatch atau baju Top man. Bakat berakar umbikan keunikan. Penerbit program realiti pula tidak perlu menganak tirikan karya-karya tempatan. Banyak karya-karya mereka yang berkualiti. Pilih dan dedahkan kepada masyarakat. Berbincanglah dengan adil jika ingin mempertaruhkan karya pemuzik-pemuzik bebas untuk para peserta. Mereka bukan pekerja Nepal yang boleh ditengking-tengking. Mereka berhak menuntut hak mereka dan jika pemuzik seberang kita boleh agungkan bak dewa, kenapa tidak dengan pemuzik kita sendiri. Bertindaklah dengan bijak.

Untuk titk noktah, cukuplah dengan pelbagai program realiti yang ada. Usah diperbanyakkan lagi kerana program wacana Islam semakin berkurang. JANGAN BIARKAN REALITI HIDUP ANDA DISELUBUNGI FANTASI...Fikir-fikirkan.venee lemily.